4/18/24

Di Mana

 Teman, 

sudah berapa lama kita tinggalkan al-Quran?


Walhal itulah teman karib kita dahulu. Tapi kini kerap kita ter-lupakan.


Walhal itulah penghiburmu di kala kesedihan, tapi kini barangkali ‘dia’ sedih ditinggalkanmu.


Walhal dulu yang kauperjuangkan, kini kau berjuang tanpanya, kausisihkan seperti kau tak pernah berjumpa.


Walhal dia dululah yang kau kucup acapkali membacanya, kau sayang sepenuh hatinya, tapi kini sayangmu itu sudah ke mana? 


Walhal itulah penawarmu ketika insan lain merobek koyak hatimu, tapi hari ini kau cari penawar lain yang memalsukan dan memenatkan.


Carilah dia semula. Dakap dan bacalah.


Bergembiralah semula bersamanya.


Di barzah nanti dialah temanmu, dialah cahaya yang menerangi kuburmu.


Ya Allah, jangan kau jauhkan al-Quran dari tangan, mata dan hati kami. 


Ya Allah jadikanlah anak cucu kami anak cucu yang cinta dan sentiasa membaca al-Quran, yang faham al-Quran, yang hafal al-Quran, yang tidur bangunnya bersama al-Quran, yang hidup matinya bersama al-Quran


Ya Allah, ampuni kami, ampuni kami, ampuni kami ya Allah. Sesungguhnya selaput gelap yang mengelabui mata kami ini kerana banyaknya dosa-dosa kami. Maafkan kami, ampuni kami  ya Allah…


_____

Muhd Iqbal Bin Samsudin

2031, 180424

Mediklinik Rakyat Dr Naim Ahmad Ipoh, Arena Niaga Simee

#ibnuDDin

Teguran

 Teguran ALLAH itu datang dalam berbagai-bagai jelmaan.


Tetapi tetap tergantung kepada diri kita untuk merespon atau sekadar biarkan sahaja. 


Dan jika kita merespons, apakah respons kita itu respon yang baik atau respons yang sebaliknya.


Apa terjadi sekali pun, selagi mana teguran-teguran ALLAH itu datang, walau dengan jelmaan apa sekali pun, bersyukurlah, bersykurlah kita masih ditegur, masih ada yang menegur supaya kita tak terus hanyut dipuput bayu lembut.


Supaya kita tak leka dek dunia, tak ghalit dengan penat kerja, tak lupa alam akhirat sana.


Apabila respons kita menghiraukan segala teguran, tunggu sajalah hari pembalasan, di sana sebenar-benar balasan akan diberikan.


_____

Dr Muhd Iqbal Samsudin

2008, 180424

Mediklinik Rakyat Dr Naim Ahmad Ipoh, Arena Nigah

#ibnuDDin

4/15/24

TUMPUL TANPA SUGUL

6 BULAN TANPA REHAT DAN CUTI, BEKERJA 24 JAM, AKU TUMPUL TANPA SUGUL


GILA. 

Mungkin itu sahaja kata dan bahasa yang selayaknya buat keadaanku saat ini.


TUMPUL.

Jika ditanya apa perasaanku, inilah perkataan paling sesuai pada hematku.


SUGUL.

Sepatutnya aku akan lebih sugul, tetapi aku masih memilih untuk berlawan dengan diriku hingga saat ini. Ia perit, menggerit hingga ke urat paling pelit. Sakit. Namun tidak sesekali aku benarkan hinggap ke daerah sugul.


*  *  *


Ini keadaan paling gila dalam hidupku.

Aku perlu berikan menjadi doktor terbaik, beri rawatan yang terbaik, beri layanan paling ultra istimewa, namun pada masa yang sama aku struggle teruk memulakan bisnes di tempat yang baru dan langsung tak ada kena mengena dengan aku dan tidak pernah aku jejaki sebelum ini. 

Aku wajib usahakan agar sales tidak merudum, aku harus pastikan bekalan ubat-ubatan dan medical supplies lain tidak kehabisan, aku perlu uruskan hutang syarikat, uruskan staf keluar masuk dan training mereka, aku perlu perhalusi marketing dan promosi dan aku perlu patuh dengan pendapat sharing partner lain yang lebih berpengalaman.

Pada masa yang sama, aku masih sa-orang anak kepada mama ayah, sa-orang suami kepada sang isteriku yang satu, sa-orang ayah buat kedua-dua anakku; tanpa mengabaikan keperluan dan kewajipan aku kepada mereka..

Ya, dengar saja sudah gila, belum pun kau laluinya. Gila.


* * *


TUMPUL


Ini episod paling tragis dalam hidupku. Aku terasa kian tumpul.

perasaanku kepada aku, deriaku pada alam, sensitiviti aku pada cuaca, peka aku kepada iras durja manusia, semuanya kian hari kian tumpul.

Punca terbesarnya aku keletihan otak yang teramat sangat.

mulutku mampu tersenyum namun tidak otakku.

gembiraku mampu tercetus namun belum tentu dari perasaan hati naluri 


Aku menulis ini sekarang pun kerana aku risau tumpulnya aku akan lebih berleluasa dan teruk.

tapi aku masih belum ada pilihan melainkan bertahan setahan mungkin.


*  *  *


Anak-anak juga kian membesar, dan mereka membesar di klinik.

Bila tak ada patient dan kerja sudah dibereskan, aku akan terus naik atas.

Anak-anak kecil ini tak jemu-jemu menyambutku di hadapan pintu bilik, datang sa-orang demi sa-orang datang memeluk kakiku, tak dapat digambarkan betapa gembiranya hati ini bila dipeluk anak-anak, muka memang nampak cool tapi di dalam hati terpaling bahagia.

Idris pula sudah pandai berkata-kata dan sudah pandai untuk faham pekerjaan abatinya. Dia sudah pandai mengungkapkan, "Alaaa abati ada patient".

Adakalanya dia bersedih dan menangis bila telefon aku berbunyi, dia tahu abatinya ada patient dan perlu turun ke klinik untuk rawat pesakit

Allah...

Hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa pilunya hati ini saat menuliskan perkara ini.

Tapi inilah perjuangan yang sedang aku ajarkan kepadanya dan qudwah sebagai pemimpin keluarga dan menyumbang dalam masyarakat setempat.

Sesekali apabila membawanya ke masjid, dia betul-betul terasa 'healing' dan gembira dengan sepenuh hatinya, hingga ada pakcik-pakcik di masjid yang memujinya sebagai anak kecil yang bagus kerana mengikut aku selalu ke masjid.

Acap kali dia cuba meraih perhatianku namun aku cuba sedaya upaya untuk memenuhi perhatiannya dan bercakap dengannya, tetapi ada masanya ketika aku letih aku sendiri tak terdaya lagi, terus kepala diletakkan di bantal dan luppp.

Maafkan daku duhai anak, tiada yang mudah bila kita memilih untuk berjuang. Aku sungguh berharap yang engkau akan mengerti sendiri apa perjuangan abatimu suatu hari nanti.


***

aku perlu menuliskan segala isi hatiku ini, buat tatapan masa hadapan. sesungguhnya ini adalah sejarah penting hidupku yang bakal aku kenang suatu ketika nanti.

dan tetap aku perlu menulis semua ini, kerana aku juga manusia biasa, aku perlu terapi kepada kegetiran yang sedang aku hadapi sekarang ini.

dengan menulis, aku akan kian sembuh.


***

sesungguhnya aku sangat dambakan doa kalian, terutama sekali doa syurgaku mama dan ayah.

tanpa doa mama dan ayah, tempang cacatlah hidupku di dunia ini, takk mampulah lagi aku berjalan laju di dunia ini.

Ya ALLAH, jangan KAU biar aku tumpul dan sugul dalam berjuang.


______

Dr Muhd Iqbal Bin Samsudin

Mediklinik Rakyat Ipoh, Arena Niaga Simee

0237, 150424

2/17/24

HILANG JANTUNG

Dalam satu buku psikologi yang pernah saya baca satu ketika dahulu, penulis ada menyatakan bahawa kehilangan anak akan jadi trauma dan luka dalam yang amat besar, berbanding kehilangan ibu ayah di sisi anak.

Itu dapat dibuktikan dengan pengalaman dan kajian yang dijalankan penulis sendiri.


Itu bacaan saya lebih 10 tahun yang lalu.


Hinggalah tempoh hari, ketika saya di satu pusat beli belah, jantung saya berhenti dalam keadaan saya masih hidup.

Saya rasakan mana-mana ibu bapa yang pernah mengalami, tahu dan dapat dalami perasaan ini.

Ketika sedang beli belah, anak lelaki saya berada pada jagaan isteri saya, manakala anak perempuan saya dalam jagaan saya. 

Within seconds kata mat saleh, fi kalamhil basor bahasa al-Quran, sekelip mata sahaja anak lelaki saya hilang dari pandangan.

Senyap.

Idris mana?” Tanya saya kepada isteri.

Tanpa kata, matanya melilau kiri dan kanan mencari.

Selalunya, kalau Idris ketakutan atau tak nampak ummi atau abatinya dia akan menangis meraung, tapi kali ini senyap. Entah mengapa. Maka banyaklah lintasan-lintasan meluru datang menerpa fikiran.

Allahu.

Literally can't even feel my heartbeat

Terbungkam seraya terkesima.

Menjerit ke sana ke mari memanggil dia.

“Idris!”

“Idris!!”

“Idrisss!”

Masih belum ada sahutan.

Saya dan isteri berpecah mencari.

Terus saya meluru ke pintu masuk dan tempat permainan yang dia suka pergi, namun raut wajahnya tidak juga kelihatan.

Sahutan pada namanya juga tidak kedengaran.

Introvert saya hilang pada ketika itu, dan terus saya bertanyakan kepada pekerja-pekerja pasar raya tersebut, tapi mereka pun tak nampak.

Ya ALLAH, anak aku!

Seperti mahu menangis, tapi air mata tak tercicir keluar. Hanya terbendung di dalam.

Masih, ke hulu, ke hilir, mencari, tetap tidak juga nampak kelibat sang anak.

Ya ALLAH...

Saya berlari anak pesan kepada semua warga kaunter pasar raya tersebut untuk maklumkan saya jika ternampak Idris.

Larian anak itu terasa nian lemah sekali, lunyai segala sendi.

Fikiran terus bergentayangan. 

Muka tak lekang raut cemas.

'Ya ALLAH selamatkanlah anak aku, aku teramat sayang padanya.' Getus sang hati ini.

Tiba-tiba telefon  berbunyi,

"Abang, sayang dah jumpa Idris"

ALLAH...

Hanya TUHAN yang tahu betapa leganya hati ini.

Hanya TUHAN sahaja yang tahu betapa bersyukurnya diri ini.


Benarlah apa yang saya baca satu ketika dahulu itu, kehilangan anak itu tersangat niannya pedih.

Tak tertanggung dek hati.


_____

Dr Muhd Iqbal Samsudin

Arena Niaga Simee, Ipoh, Perak

1717H, 170224

1/21/24

ILMU YANG BERMANFAAT BERVISIKAN AKHIRAT

 Sering kali kita mendengar dan membaca hadith yang menyatakan 3 perkara yang akan terus kekal bersama kita walau nyawa sudah tidak dikandung badan.

Apakah ia?

1. Sedekah jariah.

2. Ilmu yang bermanfaat.

3. Doa anak yang soleh kepada ibu bapanya


Namun pemahaman kita pada ilmu yang bermanfaat itu selalu terbatas kepada ilmu agama sahaja.

Walhal setiap orang di dunia ini berpeluang yang sama bagi meninggalkan legasi ilmu bermanfaat kepada ramai orang lain.

Ya, walau itu bukan ilmu agama!

Kerana, ilmu bermanfaat itu bukan hanya terbatas kepada ilmu agama sahaja, bahkan semuaaaa ilmu yang  boleh memberikan manfaat.


Lalu, ilmu apa lagi yang bermanfaat?

Ilmu-ilmu hidup yang 'menghidupkan' orang lain.

.

Contoh.

Di sektor pekerjaan sebagai doktor.

Akan ada setiap ketika doktor-doktor baru yang akan mulakan tugas dalam karier mereka. Untuk doktor-doktor junior ini, pengalaman dan pengetahuan mereka belum betul-betul kukuh. 

Jadi itulah peluang emas kepada doktor-doktor senior untuk mengajarkan mereka segala ilmu yang mereka ada. 

Satu kefahaman yang silap bila mereka bersikap 'kedekut ilmu', dengan alasan mereka mendapatkan dengan susah payah satu ketika dahulu, itu alasan paling dangkal dan memalukan. 

Alangkah baiknya jikalau mereka memahami konsep ilmu bermanfaat ini dan mereka ada vision akhirat, tak memandang kehidupan ini sekadar di dunia sahaja.

Apalah salahnya diajarkan baik-baik sang junior segala ilmu dan pengalaman yang mereka ada.

Bayangkan, jika satu ilmu yang diajarkan itu diamalkan oleh doktor junior tadi diamalkan hingga membolehkan dia bekerja dengan baik, mencari nafkah buat keluarganya, bahkan bonus boleh bantu dalam proses penyembuhan penyakit yang pesakit-pesakit yang mereka rawat pada kemudian hari. 

Boom! 

Satu pahala berterusanlah jikalah ilmu itu diamalkan dan disebar-sebarkan.

Berbahagialah orang yang mula mengajarkan ilmu bermanfaat itu!

.

Contoh  lagi.

Di sektor marhaen kampung.

Ali seorang anak muda, pergi ke kenduri untuk tolong menolong jiran tetangga.

Di kenduri tersebut, Pak Abu telah mengajarkannya seni membancuh aneka minuman yang sedap.

Bertolak dari pengajaran yang dia dapat dari Pak Abu itu, akhirnya membuatkan Ali pandai membuat air minuman yang sedap.

Di rumah-rumah kenduri dia berjaya manfaatkan dirinya dengan menyediakan minuman kepada orang ramai.

Di luar, dia hingga berniaga aneka jenis air yang sedap. Dengan duit hasil jualan air itulah dia menyara keluarganya dan berikan kepada ibu bapanya, bahkan menolong adik-adiknya yang lain.

Tak sekadar itu, Ali mengajarkan ramai lagi orang lain cara buat air yang sedap itu hingga mereka pula berjaya manfaatkan ilmu itu.

Hanya dari ajaran yang simple dari Pak Abu itu akhirnya dapat impak yang sangat besar dalam hidup Ali.

Sangat mewahlah gandaan pahala yang dijana Pak Abu, bahkan hingga ke alam barzakh dan alam akhiratnya.

Subhanallah!

Besarnya kesan satu ilmu yang bermanfaat itu jika kita pandang dengan vision akhirat!!!

.

Demikianlah vision akhirat yang amat luas dan tak terfikirkan oleh ramai orang.

Jikalau mereka sedar semua ini, pastilah tiada istilah 'kedekut ilmu' dan dengki mendengki sesema mereka.

Moga kita semua dapat sebarkan walau sekecil-kecil ilmu bermanfaat yang kita ada, kerana itulah 'pencen kubur' tatkala kita di sana nanti!


_____

Dr Muhd Iqbal Samsudin

21.01.24, 0150H

Arena Niaga Simee, Ipoh